Secoret Kata Setulus Harapan Dekan | FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
» ABOUT US » From the Dean's Desk » Secoret Kata Setulus Harapan Dekan

Secoret Kata Setulus Harapan Dekan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua warga FBMK.

Saya panjatkan kesyukuran kepada Allah atas keizinan yang diberikan.  Ucapan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM atas kepercayaan kepada saya sebagai Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi mulai 1 Februari 2024.  Saya cukup sedar bahawa pelantikan ini bukan sesuatu untuk dibanggakan bahkan merupakan suatu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul bagi memastikan Fakulti kita  terus berada pada landskap kecemerlangan.

Terima kasih kepada warga FBMK yang sentiasa memberikan sokongan dan melaksanakan fungsian secara kolektif bagi membantu pengurusan Fakulti selama ini. Saya penuh yakin dengan potensi yang dimiliki oleh warga Fakulti yang belum dioptimumkan, iltizam dan keikhlasan bersatu hati yang terpatri, Insya-Allah slogan “Berilmu Berbakti” akan kita terjemahkan dalam bentuk praktis berasaskan bidang tujahan yang kita tawarkan.

Warga FBMK yang dikasihi,

Tahun 2024, menawarkan pelbagai tuntutan dan cabaran yang bakal kita hadapi secara bersama-sama. Hasrat kepimpinan tertinggi UPM yang diasaskan kepada enam teras utama akan kita sahut dan sambut bagi memastikan kesinambungan terhadap eko-sistem pentadbiran seiring sejalan.

Dalam konteks ini, saya akan memastikan tidak akan ada warga Fakulti yang ditinggalkan untuk mereka memberikan sumbangan. Saya yakin setiap warga Fakulti mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu dalam mencetak kejayaan yang kita hasratkan. Kita mesti terus mengamalkan kerja berpasukan secara ikhlas, mempraktiskan tata kelola pentadbir secara telus dan cekap, mengupayakan kebajikan sumber manusia berasaskan amalan terbaik perkhidmatan, meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk dilanggani oleh pemegang taruh dapat kita terjemahkan dalam bentuk tindakan.

Warga FBMK yang dikasihi,

Kita adalah satu keluarga yang setiap daripada kita memiliki potensi, kelebihan, watak dan karakter yang pelbagai. Kepelbagaian ini sesuatu yang unik untuk kita sejajarkan bagi membentuk kebersamaan. Marilah bersama-sama saya dan pengurusan Fakulti untuk memastikan matlamat yang ditetapkan dapat kita capai, cabaran dapat kita tangani, dan rintangan dapat harungi. Jika ada yang keruh marilah kita jernihkan, jika ada yang kusut marilah kita rungkaikan. Masa ini adalah masa untuk kita bergerak bersama-sama secara berpasukan untuk kecemerlangan Fakulti dan Universiti. Ini selari dengan amanat Naib Canselor UPM bahawa “Kecemerlangan masa hadapan memerlukan usaha bersepadu yang disusun secara strategik oleh sebuah pasukan yang mantap”.

Satukan hati, ikhlaskan niat, untuk kita berganding bagi mengemilangkan FBMK dengan kesedaran agar “menjulang ke langit, mengakar ke bumi” menjadi paksinya. Semoga Allah memudahkan segala urusan kita dan sentiasa merahmati dan memberkati setiap usaha yang kita lakukan. Insya-Allah dengan izin-Nya jua segalanya dapat kita capai.

 

Salam hormat

 

Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim

Dekan

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM

1 Februari 2024

Updated:: 02/02/2024 [amira.rahim]

MEDIA SHARING

FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
SXEdPAT~