Menuai Hasil Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Di IPTA | FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
» ARTICLE » Menuai Hasil Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA

Menuai Hasil Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA

1 April 2022, 11:36

"Kita menggunakan bahasa ketujuh dalam dunia tapi masih lagi malu dan janggal berbahasa Melayu. Cita-cita  saya adalah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN."

Demikian antara ucapan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam sesi Penggulungan Naib Presiden UMNO, bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU  2021).

Pernyataan yang berkesinambungan dari semasa ke semasa oleh Perdana Menteri Malaysia membuktikan bahawa pemimpin negara kita sangat serius tentang agenda bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara. Semboyan telah berbunyi, kita sebagai Keluarga Malaysia perlu mengambil peranan dan cakna dengan menjadi penggerak utama menggemakan seruan tersebut.

Tidak dinafikan, di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), dengan menyebut beberapa universiti sahaja di sini seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Awam lain secara realitinya telah mendokong perkara ini dengan menawarkan subjek akademik dan kursus kemahiran dalam tempoh masa tertentu yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia kepada pelajar asing agar kelompok ini mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik.

Impak jangka panjang yang diperoleh ialah penebaran bahasa Melayu di negara pelajar tersebut dan hal ini akan membantu mempercepatkan proses bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dalam multidisiplin ilmu. Justeru itu, peluang ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak Kedutaan Malaysia di luar negara untuk mempromosikan bahasa Melayu dan juga budaya Malaysia.

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga mengorak langkah dengan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Negara-negara ASEAN dengan mengenal pasti beberapa universiti luar negara yang berpotensi untuk berkolaborasi bagi mengadakan program akademik dengan universiti tempatan.

Bagi merealisasikannya, KPT melantik UKM melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai Sekretariat untuk mengembangkan perkara penting yang berkaitan dengan tamadun Alam Melayu ke peringkat global. Semoga kita akan dapat menuai hasilnya daripada cadangan ini.

Dalam pada itu, perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPTA juga menarik untuk diperkatakan. Kebanyakan bidang aliran sains sosial menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama penyampaian kuliah berbanding dengan aliran sains. Faktor kepelbagaian program di universiti menyebabkan penyampaian dwibahasa dalam kuliah tidak dapat dielakkan. Oleh itu, kita perlu meraikan hal ini dan tidak mengambil lakuan dengan mendiskriminasikan senario ini. Begitu juga sebaliknya, tidak terus menganaktirikan bahasa Melayu dalam aspek keilmuwan. Terowong yang gelap pasti bersinar walaupun dengan satu titik cahaya.

Bagi memastikan mahasiswa tempatan tekal dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, UPM menerusi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi mengadakan Ujian Komunikasi Bahasa Melayu (UKOM-UPM) kepada pelajar mengikut syarat yang telah ditetapkan. Usaha murni ini secara langsung menyedarkan mahasiswa bahawa pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti adalah tanggungjawab bersama dan ujian seperti ini seharusnya diperpanjang untuk semua universiti di Malaysia.

Selain itu, impak optimum juga diberikan oleh pihak pengurusan tertinggi universiti yang memberikan sokongan kepada para akademik dan penyelidik untuk menulis dalam   jurnal, majalah, surat khabar dan menerbitkan buku akademik dalam bahasa Melayu serta menggalakkan diskusi dan forum bagi membincangkan pemerkasaan bahasa Melayu yang menunjukkan bahawa pihak universiti bersungguh-sungguh memberikan nilai ilmu kepada masyarakat kendatipun di sebalik cabaran penarafan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa.

Universiti sebagai kepustakaan ilmu juga acapkali menjadi medan peneraju program besar seperti sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan dan mengadun Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai elemen utama dalam pembinaan pelan strategik sesebuah universiti. Hal ini menjadikan IPTA sebagai sektor dan pusat pempengaruh yang paling ampuh untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Satu usaha yang proaktif melalui kolaborasi pihak penyelidik bahasa Melayu dan Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), wajar diberi pujian kerana bertindak efisien dengan memperkenalkan istilah yang merentasi pelbagai bidang ilmu. Kesepaduan bahasa Melayu dengan istilah teknologi, kesihatan dan perubatan serta bidang profesional lain yang lazimnya dalam bahasa Inggeris membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai keupayaan untuk membina gedung peristilahan dan tidak cetek dengan pewujudan istilah baharu.

Penerbitan bersiri buku peristilahan dalam bentuk bercetak ataupun secara dalam talian merupakan inisiatif terbaik demi kelangsungan tradisi keilmuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPTA. Misalnya, terbitan mutakhir DBP, iaitu Siri Kamus Istilah Mabbim: Kamus Pergigian Periodontik (2019) untuk meningkatkan kefahaman dalam bidang pergigian.

Siri Kamus Istilah MABBIM: Kamus Peternakan Genetik dan Pembiakbakaan (2020) pula mengandungi istilah teras yang digunakan dalam bidang penternakan untuk membantu masyarakat memahami konsep istilah dengan lebih jelas. Selanjutnya, Daftar Istilah Semasa Bahasa Inggeris–Bahasa Melayu–Bidang (2021) yang menyediakan istilah pelbagai bidang yang berkaitan dengan teknologi maklumat, pendidikan, pentadbiran perniagaan, pelancongan dan sebagainya untuk rujukan dan panduan kepada masyarakat.

Selain itu, Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP juga telah muncul di TV9 dengan berkongsi istilah semasa sama ada yang telah diterjemahkan atau dipadankan daripada istilah bahasa Inggeris bagi memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khususnya untuk kemaslahatan IPTA. Antara istilah baharu yang boleh diperkenalkan termasuklah rumah mongel (tiny house) dan cerita baharu (reels).

Pelancaran dan penjenamaan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam (2016-2021) yang diperkenalkan pada 2011 oleh Mohamed Khaled Nordin, iaitu mantan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, merupakan satu langkah bijak bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu menjadi medium utama untuk saluran ilmu universiti-universiti di Malaysia.

Objektif pelan tindakan ini mengkhusus kepada memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu, merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan mengantarabangsakan Malaysia sebagai pusat rujukan tentang ilmu Alam Melayu. Pelan yang diaudit secara berkala ini dapat dilihat sebagai penggalak kepada ahli akademik, mahasiswa dan warga universiti untuk memperkaya dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti awam.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dapat digunakan dalam disiplin ilmu sudah terbentang luas. Dengan adanya inisiatif daripada pelbagai pihak bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terus berkumandang di arena pengajian tinggi perlu dijulang dan bersama-sama menongkah harus menerjah kemustahilan yang mendatang. Janganlah kita asyik menyemai benih sahaja tetapi sudah tiba masanya untuk kita menuai hasil lumayan setelah sekian lama dituai sebagai wahana bahasa ilmu di IPTA.

Date of Input: 10/04/2022 | Updated: 10/04/2022 | ma_husaini

MEDIA SHARING

FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
WVINFA:05:10