‘Ketuanan Malaysia’ Dicapai Jika Kuasai Bahasa Melayu, Satu Sekolah | FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
» ARTICLE » ‘Ketuanan Malaysia’ dicapai jika kuasai bahasa Melayu, satu sekolah

‘Ketuanan Malaysia’ dicapai jika kuasai bahasa Melayu, satu sekolah

BARU-BARU ini ada ahli politik yang menyarankan agar rakyat menekankan ‘Ketuanan Malaysia’ jika  hendak kembali pada prinsip dan dasar asas pembinaan negara.

Kononnya untuk mengelak Malaysia daripada ketinggalan di belakang negara-negara lain pada masa akan datang.

Benarkah negara akan menjadi lebih maju jika kita mengamalkan ‘Ketuanan Malaysia’?  Atau, ia disarankan semata-mata untuk memenuhi agenda politik, sekali gus menjadi modal untuk menolak ‘Ketuanan Melayu’.

Apa pun alasannya, pembicaraan hendaklah berlandaskan fakta sejarah supaya kita tidak mengubah hakikat kebenaran.

Dalam hal ini, semua pihak hendaklah akur terhadap hak keistimewaan orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Usaha untuk membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain, seharusnya bermula dengan pembentukan jadi diri bangsa.

Jati diri ibarat akar tunjang yang memberi kekuatan kepada kita untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara daripada propaganda anasir dalam dan luar.

Bukan semua orang memiliki jati diri. Kebanyakannya lupa asal-usul diri sehingga berani menuntut sesuatu yang bukan hak.

Golongan ini bukan sahaja tidak ada identiti dan jati diri, malah tidak  ada sifat taat setia pada negara.

Penguasaan bahasa kebangsaan merupakan lambang jati diri bangsa. Slogan, Maju Bahasa Maju Negara menunjukkan bahawa, bahasa merupakan penggerak utama untuk memacu pembangunan negara.

Realitinya, tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang maju dengan menggunakan bahasa negara lain.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas termaktub kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti dihormati oleh warganya.

Justeru, sebagai warganegara kita hendaklah menguasai dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

Kecekapan bertutur dalam bahasa negara dapat mewujudkan rasa keterikatan dan cinta akan negara. Perasaan ini sangat penting untuk memupuk perasaan bangga terhadap bahasa kebangsaan sendiri.

Walau bagaimanapun, masih ramai dalam kalangan warganegara yang tidak cekap berbahasa Melayu meskipun negara telah mencapai kemerdekaan selama 64 tahun.

Lebih malang lagi, mereka tidak berasa bersalah walaupun secara terang-terangan gagal menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.

Pengakuan warganegara Malaysia hanya sekadar di bibir tetapi di hati menjunjung bahasa negara orang. Jika Perlembagaan Malaysia tidak mampu dijunjung, apatah lagi  menghayati prinsip Rukun Negara. Jauh panggang dari api!.

Ungkapan Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong bahawa, “Bahasa Melayu ialah bahasa negara saya dan saya seharusnya menuturkan dengan bangga dan fasih” sepatutnya mendasari pemikiran warga Malaysia yang   rasional, akur pada sejarah dan menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Namun, sehingga ke hari ini isu penguasaan bahasa kebangsaan berterusan bagaikan tiada noktah. Ketidakfasihan rakyat Malaysia bertutur dalam bahasa kebangsaan, terutama mereka yang telah lama menjadi warganegara adalah sangat memalukan.

Namun, sangat menghairankan apabila ramai yang berasa malu apabila tidak fasih bertutur dalam bahasa asing berbanding dengan bahasa kebangsaan.

Golongan ini tidak tahu membezakan nilai dan status antara bahasa kebangsaan dengan bahasa asing.

Satu sekolah untuk semua 

Sehubungan itu, pandangan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Johor untuk melaksanakan sistem pendidikan satu aliran dan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar adalah sangat tepat.

Asas tujuannya ialah untuk memupuk rasa cinta dan keyakinan generasi muda terhadap  bahasa kebangsaan, selain meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan perpaduan dalam kalangan rakyat  berbilang bangsa.

Kita juga dapat membentuk satu kesatuan pemikiran dan  keterbukaan dalam kalangan generasi muda  untuk menerima kepelbagaian etnik  di bawah sistem pendidikan nasional.

Sekolah satu aliran dapat menyatukan pelbagai kaum di bawah satu bumbung dan menggalakkan interaksi nasional.

Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsan (SJK) Cina dan Tamil yang menggunakan bahasa pengantar selain bahasa kebangsaan pula secara tidak langsung telah menghalang pembentukan identiti nasional, sekali gus mewujudkan jurang komunikasi yang lebih besar.

Jika sejak kecil lagi tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan, maka usaha untuk mewujudkan persefahaman dan rasa kebersamaan antara satu sama lain akan menjadi lebih sukar apabila dewasa kelak.

Lambat laun akan wujud perpecahan, sekali gus membentuk sikap keakuan yang memberi faedah kepada diri sendiri semata-mata.

Sebagai warganegara, kita hendaklah menjunjung Perlembagaan Malaysia dan prinsip Rukun Negara dengan semangat patriotisme yang tinggi.

Penguasaan dan kefasihan bertutur dalam bahasa Melayu merupakan simbol maruah diri, iaitu penghormatan terhadap status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Kedudukan ini mesti dipertahankan selagi hayat dikandung badan.

Ungkapan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, “Negara tanpa bahasa kebangsaan ibarat jasad tanpa roh” seharusnya dijadikan peringatan supaya kita dapat membentuk satu tamadun bangsa yang maju mengikut acuan kita sendiri.

Tegasnya, isu penguasaan bahasa kebangsaan merupakan agenda nasional yang perlu diberi perhatian oleh warganegara Malaysia.

Impaknya sangat besar pada pembangunan bangsa dan negara berbanding dengan pembicaraan ‘Ketuanan Malaysia’ yang penuh sentimen dan emosi.

Jika benar kita warganegara Malaysia dan cintakan negara, maka kuasailah bahasa Melayu. Bertuturlah dengan cekap dan fasih, serta bangga mengungkapkannya di seantario dunia.

Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd KiramUniversiti Putra Malaysia

Date of Input: 23/07/2022 | Updated: 23/07/2022 | ma_husaini

MEDIA SHARING

FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
WVINEAK:04:59