“Jangan Anggap Program Pengajian Bahasa Melayu Tiada Peluang Kerjaya Di Masa Depan” | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
» BERITA » “Jangan Anggap Program Pengajian Bahasa Melayu Tiada Peluang Kerjaya di Masa Depan”

“Jangan Anggap Program Pengajian Bahasa Melayu Tiada Peluang Kerjaya di Masa Depan”

SERDANG, 27 Nov - “Jangan anggap program pengajian Bahasa Melayu tiada peluang kerjaya di masa depan” kata Siti Nurhana Shafirah Mat Nazir yang merupakan graduan Bacelor Sastera Bahasa dan Lingustik Melayu dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-47
Sidang 2, hari ini.
 
Beliau yang meminati subjek Bahasa Melayu sejak di bangku sekolah akui menghadapi tanggapan masyarakat sekeliling apabila memilih program pengajian itu sebagai pilihan utama pada awal pemilihan program pengajian.
 
Beliau berpandangan pelajar universiti perlu mengambil peluang untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah ketika berada di kampus.
“Apabila di kampus ambil peluang untuk melakukan pembentangan dalam projek kelas dan juga aktif berpersatuan kerana ini merupakan nilai tambah untuk pelajar yang sebenarnya penting untuk meningkatkan keyakinan diri serta pengurusan masa,” katanya.
 
Siti Nurhana Shafirah, 23, yang kini bekerja sebagai wartawan penyiaran di BERNAMA TV berkata, sungguhpun beliau bukan pelajar komunikasi, namun beliau mampu menempuh rintangan serta bersyukur mempunyai kerjaya yang diidamkan.
 
“Saya berterima kasih kepada para wartawan senior BERNAMA TV kerana mereka yang memberi pelbagai tunjuk ajar serta membantu saya pada ketika itu saya menjalankan latihan industri di sana.
 
“Semasa saya sebagai pelajar latihan industri di Bahagian Sukan mereka melihat bakat saya antaranya berkemahiran berkomunikasi dan ianya satu kelebihan untuk saya. Dari situ saya telah diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas wartawan penyiaran, pembaca berita serta hos program,” katanya.
 
“Sebagai pelajar linguistik saya dapat mengaplikasikan kemahiran saya dan pemikiran seorang wartawan itu perlu berfikiran kritis serta kreatif kerana kerjaya ini akan berdepan dengan cabaran dan situasi yang berbeza setiap hari,” katanya.
 
“Tugas sebagai wartawan penyiaran ini bukan glamour dan tidak dinafikan ianya ianya satu kerjaya yang sangat penting kerana kita perlu salurkan informasi kepada orang awam dengan tepat,” katanya.
 
 

Tarikh Input: 04/12/2023 | Kemaskini: 04/12/2023 | norhidayatul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
SXEeQA6~