Graduan OKU Buktikan Kekurangan Diri Bukanlah Tembok Capai Kejayaan | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
» BERITA » Graduan OKU Buktikan Kekurangan Diri Bukanlah Tembok Capai Kejayaan

Graduan OKU Buktikan Kekurangan Diri Bukanlah Tembok Capai Kejayaan

SERDANG, 27 Nov – Graduan Orang Kurang Upaya (OKU) akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana (Master), membuktikan bahawa kekurangan diri bukanlah tembok untuk mencapai kejayaan.
 
Graduan kurang upaya fizikal (PH), Mior Mohd Firdaus Mior Mohd Fadzli, 26, berjaya menamatkan pengajian Master Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-47 Sidang 2 Tahun 2023.
 
“Saya memerlukan tongkat siku dan kerusi roda sekiranya perlu untuk membantu pergerakan saya ke mana-mana, dan hal ini menyebabkan saya berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam perjalanan pengajian saya sejak dahulu lagi.
Berpegang teguh kepada prinsip ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, Mior Mohd Firdaus yakin bahawa individu yang pincang fizikal, karakter mahupun peribadi boleh bangkit sekiranya berjiwa keras untuk terus mencuba, bahkan ketika harus berhadapan dengan kegagalan.
 
Meskipun pernah terlintas dalam benaknya untuk menyerah, Mior Mohd Firdaus tetap cekal dalam perjuangan jihad menuntut ilmu.
 
“Secara peribadi, saya merasakan bahawa perasaan putus asa dan ingin berhenti atau menangguhkan pengajian merupakan perkara normal yang dirasakan oleh golongan pelajar kerana setiap individu memiliki masalah tersendiri, tetapi tekanan dan dugaan hidup itulah yang seharusnya menguatkan kita untuk terus maju ke hadapan.
 
“Kekurangan diri saya ini yang sebenarnya menjadikan saya cekal untuk mendapatkan pendidikan tinggi dan membina masa depan yang cerah kerana saya tahu bahawa kejayaan tidak dihadkan oleh keterbatasan diri,” katanya.
 
Dalam pada itu, Mior Mohd Firdaus berharap agar dapat melakar kejayaan dan menjadi sumber inspirasi buat masyarakat, khususnya golongan OKU untuk tidak merasa terpinggir dalam bidang pendidikan kerana semua orang berpeluang untuk mengembangkan potensi diri secara saksama.
 
Mungkin imej 3 orang, dais dan teks

Tarikh Input: 04/12/2023 | Kemaskini: 04/12/2023 | norhidayatul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
SXEeVAl~