
UPM SERDANG, 17 JULAI 2025 - Segmen Menu Putra: Suara Merdeka @ FBMK sempena Program Semarak Merdeka Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 16 Julai 2025, jam 11.00 pagi menerusi siaran langsung di PutraFM 90.7.
Segmen ini menampilkan tiga orang tetamu jemputan dari Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia, iaitu Encik Husalshah Rizal Hussian, Pengarah PKKSSAAS, Encik Mohd Khairul Zainal Abidin, dan Encik Amirul Iskandar Abdul Razak.
Mereka hadir ke konti PutraFM untuk berkongsi pandangan serta aspirasi berhubung kelainan dan keunikan Program Semarak Merdeka tahun ini berbanding penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya. Antara yang ditekankan ialah pendekatan lebih segar dan dinamik yang memfokuskan penglibatan menyeluruh warga kerja UPM, khususnya dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ).
Turut diterangkan syarat-syarat penyertaan bagi pertandingan anjuran FBMK serta jenis hadiah dan pengiktirafan yang bakal diberikan kepada PTJ yang menunjukkan penglibatan paling cemerlang.
Program Semarak Merdeka ini merupakan inisiatif tahunan PKKSSAAS dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga UPM melalui pendekatan bahasa, seni dan komunikasi. Seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, UPM terus komited dalam melahirkan warga universiti yang berilmu, berbudaya dan berbakti kepada negara.


Tarikh Input: 17/07/2025 | Kemaskini: 17/07/2025 | amisya

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia