
UPM SERDANG - Program Tanggungjawab Sosial Korporat, "Growing Trees, Building Futures", telah berjaya dilaksanakan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dengan kerjasama SMBC SSC Sdn. Bhd. yang melibatkan lebih kurang 150 peserta, yang terdiri daripada pelajar FBMK dan SPE, staf SMBC dan UPM.
Program ini berjaya mencapai matlamat utamanya, iaitu meningkatkan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar serta memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan kewangan berkesan. Aktiviti utama termasuk penanaman pokok sebagai simbol komitmen UPM terhadap agenda kelestarian. Ceramah khas berkaitan pengurusan kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut diadakan bagi membimbing peserta mengenai asas pengurusan kewangan yang bijak.
Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, menyatakan bahawa kejayaan program ini menunjukkan kekuatan kerjasama antara UPM dan sektor korporat, serta memupuk kesedaran sosial dan tanggungjawab terhadap kelestarian alam dalam kalangan pelajar dan staf UPM.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, menegaskan bahawa program ini selaras dengan komitmen UPM terhadap inisiatif Kelestarian Hijau dan Dasar Keterjaminan Makanan. "Kejayaan program ini mencerminkan peranan UPM dalam memupuk generasi muda yang prihatin terhadap isu-isu alam sekitar, di samping memberi pengetahuan kewangan yang diperlukan untuk masa depan mereka," katanya.
Sementara itu, Presiden SMBC SSC Sdn. Bhd., Encik Satoshi Aoki, menyatakan rasa bangga kerana dapat berkolaborasi dengan UPM dalam program ini. "Kami di SMBC percaya bahawa menjaga alam sekitar dan memberikan pendidikan kewangan adalah langkah penting untuk membina masa depan yang lebih baik. Kami berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan bagi menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan alam sekitar," ujarnya.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat "Growing Trees, Building Futures" bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam, tetapi juga memperkasa peserta dengan ilmu kewangan yang penting bagi menghadapi cabaran masa depan.


Tarikh Input: 06/01/2025 | Kemaskini: 06/01/2025 | amira.rahim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia