Program Ramadan Putra Cakna 3.0 Erat Silaturahim Bersama Anak-Anak Yatim | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI fbmk
» BERITA » Program Ramadan Putra Cakna 3.0 Erat Silaturahim Bersama Anak-Anak Yatim

Program Ramadan Putra Cakna 3.0 Erat Silaturahim Bersama Anak-Anak Yatim

UPM SERDANG, 24 MAC 2025 – Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan tradisi tahunan dengan menganjurkan Program Ramadan Putra Cakna 3.0, yang kini memasuki tahun ketiga. Program ini dilaksanakan pada 20 Mac 2025 yang lalu bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan serta berkongsi keberkatan Ramadan bersama anak-anak yatim.

Bermula pada jam 5 petang, program ini diserikan dengan kehadiran anak-anak yatim dari Rumah Bakti Al Kausar Bangi dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ummi & Waled (PEKAYUW). Mereka disambut mesra oleh warga FBMK, mencipta suasana yang penuh keceriaan dan kasih sayang.

Sebagai pembuka tirai, satu sesi Exchange Knowledge telah diadakan bersama Dr. Muhammad Faizul Abdul Hamid dari Jabatan Bahasa Melayu, FBMK. Sesi ini mendapat sambutan yang amat baik daripada anak-anak yatim, yang bersemangat mengambil bahagian dalam aktiviti interaktif yang dianjurkan.

Selepas sesi ilmu tersebut, program diteruskan dengan aktiviti keagamaan yang memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam diri peserta. Para hadirin menunaikan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan berbuka puasa bersama dalam suasana penuh kemesraan. Usai berbuka, mereka meneruskan ibadah dengan solat Isyak dan solat tarawih berjemaah.

Kemeriahan program berlanjutan dengan sesi penyampaian duit raya kepada anak-anak yatim serta anak-anak staf FBMK yang turut serta dalam majlis ini. Selain itu, wakil dari dua rumah kebajikan tersebut turut menerima barangan keperluan hari raya, sebagai tanda ingatan dan sokongan daripada FBMK.

Program ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim tetapi juga mengukuhkan nilai ihsan dan kebersamaan dalam kalangan warga UPM. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyebarkan lebih banyak kebaikan kepada golongan yang memerlukan.

Tarikh Input: 24/03/2025 | Kemaskini: 24/03/2025 | amira.rahim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 3700
03-9769 3727
W, (11:37:02am-11:42:02am, 14 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]