Program Korban FBMK 2025 “Melakar Taqwa, Menyulam Ukhwah” Semarak Semangat Aidiladha | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI fbmk
» BERITA » Program Korban FBMK 2025 “Melakar Taqwa, Menyulam Ukhwah” Semarak Semangat Aidiladha

Program Korban FBMK 2025 “Melakar Taqwa, Menyulam Ukhwah” Semarak Semangat Aidiladha

UPM SERDANG, 11 JUN 2025 – Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Program Korban FBMK: “Melakar Taqwa, Menyulam Ukhwah” 1446H / 2025M sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2025. Program ini merupakan inisiatif bagi menghayati semangat pengorbanan, menyuburkan nilai-nilai keagamaan serta mempererat jalinan ukhuwah dalam kalangan warga fakulti.


Bertempat di Sanggar Bahasa, Blok C, FBMK, program ini berlangsung meriah bermula jam 11.30 pagi dan mendapat sambutan hangat daripada pensyarah, staf serta pelajar FBMK. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti aktiviti merewang, agihan daging korban dan jamuan makan tengah hari yang disediakan secara gotong-royong. Suasana harmoni dan penuh kekeluargaan jelas terpancar sepanjang program berlangsung, menzahirkan nilai perpaduan dan semangat saling membantu yang menjadi teras kepada sambutan Aidiladha.


Lebih bermakna lagi, program ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharuddin yang menyatakan penghargaan atas usaha murni FBMK dalam menganjurkan program berteraskan nilai spiritual dan komuniti. Beliau turut menekankan kepentingan program seperti ini dalam memupuk budaya saling hormat, prihatin serta memperkukuh hubungan antara warga universiti.


Penganjuran program korban ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, tetapi juga menjadi platform memperkasa jati diri Muslim dalam kalangan warga fakulti. Ia sekaligus memperlihatkan komitmen FBMK dalam menerapkan nilai-nilai murni dan budaya kerja berpasukan yang harmoni selari dengan tuntutan agama dan nilai kemanusiaan.


Dengan tema “Melakar Taqwa, Menyulam Ukhwah”, FBMK berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wahana memperkukuh perpaduan serta memaknai erti pengorbanan dalam erti kata sebenar.

Tarikh Input: 11/06/2025 | Kemaskini: 11/06/2025 | amisya

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 3700
03-9769 3727
X, (06:12:56pm-06:17:56pm, 08 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]