
UPM SERDANG - Program "Apresiasi dan Ekspresi Kanak-Kanak" (ADEK 2024) telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Program ini merupakan anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama KEMAS dan Jaringan Komuniti Sastera Kanak-kanak dan Remaja.
Program bertemakan "Dengarlah Suara Kami" ini adalah bertujuan untuk mengembangkan potensi kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti yang berorientasikan seni, sastera, dan bahasa. Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP.
Antara pengisian menarik program ini ialah bengkel penulisan sastera kanak-kanak, pertandingan menulis cerpen kanak-kanak, pertandingan mewarna, pertandingan bercerita, bacaan resensi buku, deklamasi sajak, persembahan boneka daripada DBP, sesi kraftangan bersama Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan pameran buku cerita kanak-kanak. Selain itu, penganjuran ADEK 2024 ini juga turut berhasrat untuk memupuk kecintaan terhadap sastera, bahasa Melayu dan budaya.
Sasaran utama program ini ialah murid sekolah rendah dan prasekolah di sekitar daerah Petaling. Program ini juga diadakan bertepatan dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang diraikan pada hari ini, sekali gus menjadikan program ini sebagai platform yang unik untuk kanak-kanak melakukan ekspresi diri dalam suasana yang terbimbing dan santai.


Tarikh Input: 07/01/2025 | Kemaskini: 07/01/2025 | amira.rahim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia