
UPM SERDANG, 23 APRIL 2025 – Pertandingan Inovasi EKSA Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Seri Amar, FBMK, Universiti Putra Malaysia. Pertandingan yang melibatkan penyertaan daripada staf pelaksana FBMK secara berkumpulan ini telah menyaksikan pelbagai idea inovatif dan kreatif dipersembahkan, mencerminkan semangat tinggi warga fakulti dalam menerapkan nilai kebersihan, keteraturan dan kelestarian dalam persekitaran kerja.
Program ini memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama inovasi, termasuk penjimatan sumber tenaga, penggunaan semula sisa atau barangan terpakai, pemudahan kerja pentadbiran dan pengurusan, serta usaha meningkatkan jangka hayat barangan melalui pendekatan inovatif. Setiap kumpulan tampil dengan keunikan tersendiri, menonjolkan kreativiti, keberanian dan semangat berpasukan yang luar biasa.
Pertandingan ini telah dinilai oleh dua orang juri jemputan, iaitu Encik Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), dan Encik Fahmi Azar Mistar, Timbalan Pengarah Pusat Kecemerlangan Pengurusan dan Pentadbiran (PKPP), yang turut mengiktiraf usaha gigih dan daya cipta para peserta.
Tahniah diucapkan kepada semua kumpulan yang telah membentangkan projek inovasi mereka dalam pertandingan ini. Kejayaan penganjuran pertandingan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen FBMK terhadap budaya EKSA, malah memperkukuh semangat inovasi dalam kalangan warga kerja fakulti.
Nantikan pengumuman rasmi pemenang yang akan dibuat dalam masa terdekat. Semoga momentum positif ini dapat diteruskan dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak idea inovatif pada masa akan datang. Teruskan berinovasi demi kecemerlangan FBMK!


Tarikh Input: 23/04/2025 | Kemaskini: 23/04/2025 | amisya

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia