Perasmian Hari Terbuka Sempena Sedekad Muzium Warisan Melayu | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
» BERITA » Perasmian Hari Terbuka Sempena Sedekad Muzium Warisan Melayu

Perasmian Hari Terbuka Sempena Sedekad Muzium Warisan Melayu

 

UPM SERDANG, 18 Jun 2024 - Majlis Perasmian Hari Terbuka Sempena Sedekad Muzium Warisan Melayu telah disempurnakan dengan penuh gemilang oleh YBhg. Tuan Mohammad Muda Bahadin, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara. Bertemakan "Merentasi Generasi, Mengenang Tradisi," majlis tersebut berlangsung di Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 10 Jun 2024. Majlis ini turut dihadiri oleh Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim serta ahli pengurusan fakulti.

Majlis perasmian diserikan dengan pelbagai persembahan yang memukau hadirin. Antaranya ialah persembahan silat oleh Saudari Wan Nur Syuhada Wan Deraman, pelajar OKU penglihatan dari Program Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian. Persembahan tarian oleh kumpulan Putra Nari, yang terdiri daripada pelajar dan staf FBMK, turut memeriahkan acara. Selain itu, persembahan video montaj yang merangkumi seluruh pencapaian muzium sepanjang sedekad juga dipaparkan kepada para hadirin.

Program ini diadakan bagi meraikan pencapaian dan kejayaan Muzium Warisan Melayu yang selama 10 tahun telah berjaya memperkenalkan warisan budaya, sejarah, seni, dan pengetahuan lainnya kepada masyarakat melalui pelbagai acara dan kegiatan. Sepanjang tempoh sedekad, muzium ini telah memainkan peranan penting dalam memelihara dan mempromosikan warisan Melayu kepada generasi kini dan masa depan.

Dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang sempena Hari Terbuka ini, Muzium Warisan Melayu berharap dapat terus memberi inspirasi dan mendidik masyarakat mengenai kepentingan mengekalkan warisan budaya. Kehadiran tokoh-tokoh penting serta persembahan yang penuh semangat menandakan komitmen berterusan muzium dalam usaha memartabatkan budaya dan tradisi Melayu.

Tarikh Input: 18/06/2024 | Kemaskini: 18/06/2024 | amira.rahim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 3700
03-9769 3727
X, (05:40:12am-05:45:12am, 27 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]