UPM SERDANG, 15 JULAI 2025 - Sebuah pementasan teater muzikal yang penuh warna, emosi dan bakat luar biasa – The Sound of Music telah dijalankan di Auditorium Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan, UPM pada 14 Jun 2025. Program ini merupakan hasil kerja kreatif para pelajar kursus BBL4401 Penerbitan Drama dan Teknik Persembahan, di bawah Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa Melayu dan Komunikasi (FBMK).
Lebih 50 pelajar terlibat secara langsung dalam produksi ini, meliputi pelakon, kru teknikal, kostum dan produksi. Teater ikonik ini telah dipersembahkan sebanyak dua kali iaitu pada jam 3.00 petang dan 8.00 malam, dan menerima sambutan hangat daripada warga kampus serta masyarakat sekitar.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, Dekan FBMK serta barisan pengurusan dan pensyarah FBMK, yang menjadi tanda sokongan kuat terhadap bakat dan usaha pelajar. Kehadiran mereka telah memberikan inspirasi dan penghargaan besar kepada seluruh pasukan produksi.
Pementasan ini turut mendapat kerjasama strategik daripada penaja industri iaitu Biscochiz, PKS Maju dan Jantzen, yang menyokong pembangunan seni dan kreativiti mahasiswa.
Dengan semangat, dedikasi dan cinta terhadap seni persembahan, produksi ini berjaya membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi jiwa yang menyatukan.
Tahniah kepada semua pelajar dan pensyarah BBL4401 atas kejayaan yang membanggakan ini!
Tarikh Input: 15/07/2025 |
Kemaskini: 15/07/2025 | amisya
PERKONGSIAN MEDIA