Muzium Warisan Melayu Pertama Dalam Negara Dilancarkan | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
» BERITA » Muzium Warisan Melayu Pertama dalam Negara Dilancarkan

Muzium Warisan Melayu Pertama dalam Negara Dilancarkan


SERDANG, 8 April - Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang pertama seumpamanya dalam negara dilancarkan hari ini di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di sini.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata walaupun terdapat muzium lain di Malaysia yang mempamerkan warisan Melayu, muzium di UPM itu bukan sahaja pada nama warisan Melayu tetapi keunikannya berfokus kepada empat koleksi kelestarian jati diri bangsa Melayu iaitu manuskrip Melayu dan keagamaan, koleksi tekstil Melayu bermutu tinggi, koleksi busana Melayu dan koleksi persenjataan Melayu yang ampuh.

“Terdapat satu-satunya manuskrip yang tersimpan di muzium ini membicarakan tentang keris khususnya keris Taming Sari. Selain daripada pameran dalaman, muzium ini juga mempunyai outdoor museum iaitu tiga buah rumah tradisional Melayu berusia lebih seratus tahun dari Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.


“Oleh kerana Malay Heritage Museum hanya terdapat di Singapura, maka negara memerlukan sebuah institusi untuk melagang usaha penyelidikan, penerbitan, pendidikan, pengajaran dan pembelajaran, serta pemaparan artifak yang berkaitan budaya Melayu,” katanya semasa melancarkan muzium itu. Turut hadir ialah Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof. Madya Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dan Pengarah Muzium,Dr. Muhammad Pauzi Abd Latiff.

Beliau berkata keistimewaan muzium itu seperti mempunyai manuskrip keagamaan kitab Al-Quran tulisan tangan dan kitab-kitab agama lain, manuskrip pelayaran tentang arah mata angin, kitab Thib atau perubatan dan manuskrip persenjataan seperti kitab tentang cara menyurat bilah mata pisau atau keris.

 Fauzi berkata terdapat juga manuskrip rumusan matematik yang dikarang oleh cendekiawan Melayu lebih dua ratus tahun dahulu. “Para pengunjung awam boleh melihat sendiri betapa orang Melayu telah mempunyai sistem nota kaki atau footnotes lebih 300 tahun dahulu. Malah lebih 200 tahun dahulu kita telah mempunyai sistem melakarkan idea dalam bentuk visual, seperti yang disebut peta minda atau mind mapping yang dicipta oleh Tony Buzan,” katanya.


Beliau berharap Muzium Warisan Melayu UPM akan menjadi tempat pelajar, penyelidik dan masyarakat dalam dan luar negara mendalami budaya dan tamadun Melayu.

”Sebagai sebuah muzium di sebuah universiti penyelidikan, muzium ini akan menjadi tempat simbiosis kepakaran dari segenap bidang seperti bahasa, kesusasteraan, komunikasi, rekabentuk, sains makanan, pertanian, perhutanan, perubatan, sains bahan, metallurgy, sains tekstil, sosiologi, anthropologi, psikologi dan sebagainya untuk menelusuri kearifan silam bangsa Melayu dan merungkai segala rahsia keintelektualannya,” katanya.



Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
SXETQAZ~