
UPM SERDANG – Kem Mahrajan 2.0 Peringkat Kebangsaan 2024 telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Akmar Hayati Ahmad Ghazali, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Jaringan Industri dan Masyarakat) di Auditorium Za'ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut adalah Tuan Haji Haris Dahlan, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM, bersama ahli pengurusan fakulti, guru-guru pengiring, dan lebih 200 pelajar-pelajar tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di seluruh Malaysia.
Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Hassan, Pengerusi Kem Mahrajan 2.0, dalam ucapannya menyambut mesra para tetamu dan pelajar-pelajar yang hadir dari 7 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Program ini bertujuan memberikan peluang kepada para pensyarah untuk berkongsi kepakaran ilmu dengan pelajar-pelajar tingkatan 6, khususnya dari kawasan Selatan Semenanjung Malaysia.
Kem Mahrajan 2.0 dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Asing, FBMK UPM, dengan kerjasama Pusat Islam UPM, WAZAN UPM, dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Program ini memberi fokus kepada penyebaran ilmu dan pemantapan kefahaman pelajar mengenai pelbagai bidang, termasuk bahasa, agama, dan budaya, serta menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti akademik.
Semoga dengan penganjuran program ini, ia dapat memperkukuhkan hubungan akademik antara institusi pengajian tinggi dan pelajar-pelajar sekolah menengah di Malaysia, sambil membuka peluang untuk kemajuan pendidikan yang lebih luas.


Tarikh Input: 02/12/2024 | Kemaskini: 02/12/2024 | amira.rahim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia