
UPM SERDANG – Kem Mahrajan 2.0 Peringkat Kebangsaan 2024 melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutupan yang telah disempurnakan oleh Tuan Haji Haris Dahlan, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM, berlangsung dengan meriah di Auditorium Za'ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz, Timbalan Dekan (Akademik dan Pelajar), bersama ahli pengurusan fakulti, pengetua-pengetua sekolah, guru-guru pengiring, serta pelajar-pelajar tingkatan enam dari tujuh sekolah yang mengambil bahagian. Program ini bertujuan mencungkil bakat pelajar dan memupuk semangat kerjasama serta kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Kem Mahrajan 2.0 ini menyaksikan 13 pertandingan menarik seperti forum dalam tiga bahasa, tilawah al-Quran, nasyid, explorace bahasa, dan pelbagai acara sukan. Antara sekolah yang terlibat ialah SMKA Maahad Muar, SMKA Sultan Azlan Shah, SMKA Maahad Hamidiah, SMKA Putrajaya, SAMT Sultan Hisamuddin, SAMT Tengku Ampuan Jemaah, dan SMK Putrajaya Presint 5.
Pelbagai pencapaian membanggakan direkodkan sepanjang kem ini. SMKA Sultan Azlan Shah menjuarai Forum Bahasa Arab, Bola Tampar Wanita, dan Ping Pong Lelaki. SAMT Tengku Ampuan Jemaah pula meraih Johan Forum Bahasa Melayu dan Tilawah Al-Quran (Qari). Sementara itu, SMKA Maahad Hamidiah berjaya merangkul Johan Forum Bahasa Inggeris, Nasyid, Badminton Lelaki, Ping Pong Wanita, dan Tilawah Al-Quran (Qariah). SMK Putrajaya Presint 5 turut menunjukkan keunggulan dengan menjuarai Explorace Bahasa dan Sepak Takraw Lelaki.
Kejayaan paling cemerlang ialah milik SMKA Maahad Hamidiah, yang dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Piala Ketua Jabatan Bahasa Asing. Kejayaan ini mengukuhkan nama mereka sebagai juara peringkat kebangsaan, sekaligus menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang atas usaha dan dedikasi mereka sepanjang kem ini. Semoga semangat kecemerlangan ini terus menyemarakkan potensi generasi muda dalam pelbagai bidang!



Tarikh Input: 03/12/2024 | Kemaskini: 03/12/2024 | amira.rahim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia