
UPM SERDANG – Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, telah menganjurkan Majlis Apresiasi Semarak Merdeka 2024 di Bilik Seri Amar bagi meraikan kejayaan luar biasa fakulti dalam Pertandingan Semarak Merdeka 2024 UPM anjuran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).
Majlis ini bertujuan menghargai komitmen dan kerjasama staf FBMK yang telah memberikan usaha terbaik sehingga membawa kejayaan besar kepada fakulti. FBMK dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Kibar Jalur Gemilang Inter-PTJ dan menerima gelaran berprestij sebagai Johan Anugerah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Terbaik Keseluruhan dalam pertandingan tersebut. Tambahan pula, staf FBMK, Suhairey Shah Mashara, meraih Naib Johan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Inter-PTJ, membuktikan bakat seni yang gemilang dalam kalangan warga fakulti.
Pertandingan Semarak Merdeka 2024 UPM berlangsung dari 13 Ogos hingga 21 Ogos 2024 dan menyaksikan penglibatan aktif pelbagai pusat tanggungjawab. Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, turut hadir dalam majlis tersebut dan melahirkan rasa bangga serta berpuas hati dengan dedikasi seluruh warga fakulti.
"Kejayaan ini adalah bukti semangat kerjasama dan cinta akan negara yang ditunjukkan oleh semua warga fakulti. Saya amat menghargai usaha anda semua," ujar beliau dalam ucapan penghargaan.
Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan FBMK atas pencapaian cemerlang ini. Semoga kejayaan ini terus menjadi inspirasi untuk mencapai kecemerlangan yang lebih gemilang pada masa hadapan!



Tarikh Input: 03/12/2024 | Kemaskini: 03/12/2024 | amira.rahim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia