UPM SERDANG, 19 MEI 2025 - Pada 14 Mei 2025, seramai 13 orang pelajar antarabangsa yang menyertai program Putra Experience sesi 2024/2025 telah mengadakan lawatan ke Melaka, Bandaraya Bersejarah.
Destinasi utama lawatan ini termasuk Muzium Sejarah Melaka dan Muzium Samudera (Flor de La Mar), yang menjadi simbol penting dalam menggambarkan sejarah gemilang Tanah Melayu dan perkembangan budaya Malaysia. Di Muzium Sejarah Melaka, para pelajar berpeluang menelusuri perjalanan sejarah Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang terkenal pada abad ke-15. Sementara itu, kunjungan ke Muzium Samudera (Flor de La Mar) memberi mereka gambaran tentang kehidupan dan pentadbiran maritim serta perdagangan di Melaka.
Lawatan ini bukan sahaja bertujuan memperkukuhkan hubungan antarabangsa tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami lebih mendalam tentang asal-usul budaya, tradisi, dan sejarah Malaysia.
Aktiviti ini menjadi satu pengalaman pembelajaran yang interaktif dan bermakna, di mana pelajar dapat menghargai kekayaan warisan tanah air yang menjadi teras kepada identiti Malaysia.
Tarikh Input: 19/05/2025 |
Kemaskini: 19/05/2025 | amisya
PERKONGSIAN MEDIA