LARIAN WARISAN: Pengguna Nadi Budaya Bangsa | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI fbmk
» BERITA » LARIAN WARISAN: "Pengguna Nadi Budaya Bangsa"

LARIAN WARISAN: "Pengguna Nadi Budaya Bangsa"


UPM Serdang, 24 Mei 2025 – Sempena sambutan 30 tahun Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Muzium Warisan Melayu FBMK dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kajang telah menganjurkan Larian Warisan 2025 bertemakan "Pengguna Nadi Budaya Bangsa."

Program yang berlangsung meriah di sekitar kampus UPM ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, staf UPM, orang awam, warga emas, kanak-kanak serta golongan OKU. Larian sejauh 3KM dan 5KM ini bukan sahaja menyemarakkan semangat gaya hidup sihat, malah menjadi medan untuk memartabatkan budaya dan warisan Melayu melalui pendekatan santai dan inklusif.

Acara bermula seawal jam 7.00 pagi dengan pendaftaran peserta, diikuti sesi senamrobik dan taklimat keselamatan. Larian 5KM telah dilepaskan oleh Encik Muhazam Mansor, Pendaftar UPM manakala larian 3KM dilepaskan oleh tetamu jemputan istimewa, Datuk Jalaluddin Hassan, artis veteran tanah air.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran pempengaruh media sosial terkenal, Airulmi Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Alrumie, yang aktif mempromosi gaya hidup sihat dan bersukan.

Salah satu detik kemuncak acara ialah sesi cabutan bertuah yang disempurnakan oleh Encik Muhazam Mansor (Pendaftar UPM), Encik Ruhaizad Zahari (Ketua Cawangan KPDN Kajang) dan Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim (Dekan FBMK UPM). Selain itu, Jualan Rahmah Madani turut diadakan untuk manfaat para pengunjung.

Setiap peserta menerima medal eksklusif, t-shirt rasmi, nombor bib dan e-sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka terhadap program ini.

Larian Warisan 2025 membuktikan sinergi antara warisan dan kesejahteraan masyarakat mampu diperkukuh melalui pendekatan komuniti yang menyeluruh dan merentas generasi. Ia bukan sahaja meraikan kekayaan budaya Melayu, malah menyatukan komuniti kampus dan masyarakat umum dalam suasana harmoni, sihat dan penuh semangat patriotisme budaya.

Tarikh Input: 24/05/2025 | Kemaskini: 24/05/2025 | amira.rahim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 3700
03-9769 3727
W, (01:38:53am-01:43:53am, 14 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]