Kebebasan Media: Sidang Media Secara Langsung Bukti Kerajaan Komited | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
» BERITA » Kebebasan media: Sidang media secara langsung bukti kerajaan komited

Kebebasan media: Sidang media secara langsung bukti kerajaan komited

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 3 Mei -- Sejak jangkitan COVID-19 melanda dunia termasuk Malaysia, media di negara ini menggunakan pendekatan menyiarkan secara langsung, kebanyakan sidang media berkaitan jangkitan itu melalui pelbagai platform, terutama media sosial.

Selepas dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, sidang media berkaitan arahan itu turut disiarkan secara langsung yang bertujuan memastikan segala maklumat, berkaitan COVID-19 ataupun PKP, disalurkan secara terus kepada orang ramai.

Ada pelbagai pandangan, positif dan negatif, untuk sidang media itu diadakan secara langsung. Namun ramai berpendapat, siaran langsung ini membuktikan tahap kebebasan media di negara ini, semakin meningkat.

Bagi Pensyarah Kanan Komunikasi Kesihatan Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden Universiti Putra Malaysia Dr Tham Jen Sern, sidang media secara langsung itu adalah bukti kerajaan telus terhadap kebebasan media, demi kepentingan rakyat.

Katanya berdasarkan siaran langsung, rakyat bukan sahaja dapat menilai prestasi seseorang menteri atau jurucakap menguruskan krisis, tetapi juga mendedahkan penonton terhadap profesion kewartawanan. 

“Kebiasaannya apabila negara berlaku sesebuah krisis, sidang media hanya antara menteri dengan pengamal media, tetapi sekarang dengan teknologi hanya di hujung jari, penonton seolah-olah turut berada di sidang media itu, untuk mengikuti perkembangan lanjut mengenai COVID-19, apabila ia disiarkan secara langsung,” katanya kepada Bernama.

Katanya penonton boleh menilai sendiri bagaimana wartawan bertanyakan soalan kepada menteri atau jurucakap, dan wujudnya interaksi dengan penonton, apabila mereka turut dapat mengajukan soalan kepada menteri, terhadap kemusykilan mereka menerusi media sosial.

"Ia sekali gus bukan sahaja menunjukkan ketelusan terhadap kebebasan media dan kebebasan bersuara kepada rakyat, malah dapat menonjolkan sikap profesional seseorang menteri atau jurucakap, dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini, melalui media," katanya.

Beliau berkata, apabila wabak COVID-19 menjadi isu global di seluruh dunia, secara tidak langsung media memainkan peranan sebagai jagawan kepada kerajaan, dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat.

"Kuasa media sosial dan teknologi menyebabkan maklumat tersebar secara meluas dalam sekelip mata, termasuk berita palsu. Peranan media arus perdana penting bukan sahaja memberi maklumat tepat, tetapi juga membantu kerajaan menapis berita palsu.

“Dalam mengekalkan kebebasan media dalam masa yang sama, kerajaan juga tidak lupa untuk mengekang penularan berita palsu secara profesional, sekali gus mendidik rakyat terhadap kepercayaan kepada maklumat sahih,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan media memainkan peranan penting dalam melaporkan maklumat yang tepat dan terkini, sepanjang PKP yang dilaksanakan mulai 18 Mac.

Menurut Suhakam lagi, pada masa yang sama, media turut memerangi berita palsu dan tidak benar yang boleh mencetus kebimbangan dan kerisauan dalam krisis itu.

Bertemakan “Journalism without Fear or Favour’ (Kewartawanan Tanpa Rasa Takut Atau Berpihak) pada tahun ini, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia disambut pada 3 Mei setiap tahun, sejak diisytihar oleh Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1993. 

Indeks Kebebasan Media Dunia 2020 yang dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) pada April, menunjukkan Malaysia melonjak 22 anak tangga ke tempat 101 dalam kalangan 180 anggota negara tersenarai dalam indeks itu.

Selain itu, RSF menyatakan Malaysia turut mengatasi rakan serantau dalam ASEAN termasuk Indonesia (119), Filipina (136), Myanmar (139), Thailand (140), Kemboja (144), Brunei (152), Singapura (158), Laos (172) dan Vietnam (175).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, selain bangga dengan pencapaian negara dalam indeks itu, rakyat perlu berusaha meletakkan peranan akhbar dalam pendekatan partisipatori bersama pemegang taruh lain, iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil sebagai rakan kongsi pembangunan.

-- BERNAMA

Tarikh Input: 03/05/2020 | Kemaskini: 03/05/2020 | jstham

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
SXETTAm~