
UPM SERDANG, 20 JANUARI 2025 - Festival Seni Lakon 2025 anjuran pelajar Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia di bawah kod kursus BBK3407 Seni Lakon telah dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Sastika dan sokongan MJ Resources yang menaja lampu limpah. Festival Seni Lakon 2025 ini berkonsepkan persembahan terbuka yang merupakan salah satu pendekatan pementasan yang menghilangkan batas tradisional antara panggung dan penonton, menciptakan pengalaman teater yang immersif di mana seluruh ruang, termasuk lingkungan sekitar, menjadi bagian integral daripada pertunjukan.
Melalui Festival Seni Lakon 2025, ini para pelajar telah mengadaptasi drama penulis mapan iaitu Syahrul Fitri Musa, Roziah Adama, dan Siti Jasmina Ibrahim, di mana mereka dapat mempelajari tentang jenis-jenis naskhah teater iaitu realisme, surrealisme, absurdisme, eksperimental dan tragedi. Persembahan terbuka ini dilaksanakan di ampiteater mini, Wisata Seni, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Ruang terbuka atau tanpa bumbung juga membantu lontaran suara pelakon untuk sampai lebih baik kepada penonton.
Festival Seni Lakon ini dilaksanakan di bawah bimbingan Dr. Fazilah binti Husin yang juga pensyarah kursus, yang merupakan salah satu kursus wajib bagi pelajar program Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian. Festival ini bukan sahaja mendedahkan pelajar tentang selok-belok lakonan dan pengurusan pementasan dan program, mereka juga telah mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan kerjasama, etika adaptasi dan interaksi, proses dan prosedur serta disiplin dan keyakinaan diri.


Tarikh Input: 20/01/2025 | Kemaskini: 20/01/2025 | amira.rahim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia