
UPM SERDANG, 6 MEI 2025 – Program ESCAPADE 2025: Bridging Cultures Through Languages anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan platformnya sebagai perkongsian ilmu dan budaya serantau apabila menerima kunjungan delegasi pelajar dari Walailak University, Thailand, diketuai oleh pegawai pengiring Abdulroya Panaemalae.
Program selama enam hari bermula 28 April hingga 3 Mei ini mengetengahkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui pendedahan langsung kepada budaya, bahasa, warisan dan gaya hidup masyarakat Malaysia, khususnya dalam persekitaran kampus UPM.
Sepanjang program, peserta diberi peluang untuk menelusuri sejarah dan seni warisan Melayu melalui lawatan eksklusif ke Muzium Warisan Melayu serta mendapat gambaran dunia penyiaran radio di stesen Putra FM. Pengisian ilmiah pula dilengkapkan dengan kelas Heritage Communication bersama Prof. Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dan sesi pengenalan Bahasa Melayu oleh Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid yang bukan sahaja memperkaya ilmu peserta, malah memupuk minat terhadap bahasa dan budaya tempatan.
Antara sorotan utama program ialah lawatan ke Ladang 10 UPM yang dikendalikan oleh EduPark dengan kerjasama UCTC UPM, di mana peserta berpeluang mengenali secara dekat penternakan Lebah Kelulut serta mencuba sendiri aktiviti penanaman padi. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman unik, malah menyemai kefahaman tentang kelestarian pertanian di Malaysia.
Program turut diserikan dengan sesi interaksi bersama pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu wacana ilmiah santai di Auditorium Za'ba. Suasana penuh mesra dan keterbukaan menjadikan sesi ini medan terbaik untuk pertukaran pandangan dan membina rangkaian persahabatan serantau.
Escapade 2025: Bridging Cultures Through Languages bukan sekadar summer camp – ia adalah pengalaman hidup yang membuka mata, membina sahabat sejati rentas sempadan, dan menjadikan bahasa serta budaya sebagai jambatan perpaduan global. Sertai kami dalam siri seterusnya dan alami sendiri keajaiban eksplorasi budaya yang tidak akan anda lupakan!






Tarikh Input: 06/05/2025 | Kemaskini: 06/05/2025 | amira.rahim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia