
UPM SERDANG, 17 FEBRUARI 2025 - Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Majlis dan Protokol pada 12 Februari 2025. Bengkel ini berlangsung di Bilik Seri Amar, FBMK, bertujuan untuk memperkasakan pengetahuan dan kemahiran warga fakulti dalam aspek pengendalian majlis rasmi dan pengurusan protokol.
Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Nur Sabrina Marzuki, Ketua Seksyen Pengurusan Acara, Protokol Dan Pelawat Korporat, PSPK, UPM. Dengan penglibatan aktif para peserta yang terdiri daripada kalangan staf pelaksana FBMK. Sepanjang sesi, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek penting termasuk etiket rasmi, susun atur tempat duduk, penyusunan atur cara majlis, serta amalan terbaik dalam menguruskan acara rasmi fakulti dan universiti.
Pada sesi petang, latihan praktikal turut dijalankan menerusi simulasi majlis, di mana mereka berpeluang untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam suasana majlis sebenar. Aktiviti ini telah memberi pengalaman yang lebih menyeluruh serta maklum balas secara serta merta oleh pakar yang dijemput sekiranya terdapat penambahbaikan untuk dipraktikkan.
Kami merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen penuh sepanjang bengkel ini. Diharapkan ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam memastikan pengurusan majlis di FBMK, UPM lebih profesional, teratur, dan memenuhi piawaian protokol yang ditetapkan.


Tarikh Input: 17/02/2025 | Kemaskini: 17/02/2025 | amira.rahim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia