Impak Teknologi Komunikasi Maklumat Sepanjang PKP | FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
» ARTICLE » Impak Teknologi Komunikasi Maklumat Sepanjang PKP

Impak Teknologi Komunikasi Maklumat Sepanjang PKP

Bak kata pepatah, ‘hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih’, oleh itu, teknologi komunikasi maklumat dilihat sebagai aplikasi yang amat relevan dan terbaik untuk digunakan pada sepanjang tempoh PKP bagi merealisasikan kelansungan tugasan dan aktiviti yang perlu diteruskan dari masa ke semasa di organisasi, institusi serta pejabat-pejabat di seluruh negara.

 

Wabak penularan COVID19 yang sedang melanda dunia ketika ini telah mengundang pelbagai masalah dan implikasi, khususnya ke atas ekonomi negara dan dunia. Susulan daripada penularan COVID19 ini, perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilaksanakan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia.

 

Ini telah menyebabkan masyarakat secara keseluruhan tidak dapat pergi berkerja dan ini telah memberikan implikasi besar ke atas sumber pendapatan masyarakat secara keseluruhannya.

 

Kesan PKP juga dapat dirasai di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia, termasuklah di Universiti Putra Malaysia. Bukan sahaja aktiviti pengajaran dan pembelajaran telah dihentikan buat masa ini, malahan semua bentuk aktiviti dan program-program latihan juga telah dihentikan buat masa ini.

 

Walau bagaimanapun, program-program latihan, pengembangan dan aktiviti yang berkaitan dan relevan masih lagi dijalankan oleh fakulti, pusat dan institusi yang berkaitan di Universiti Putra Malaysia. Antara pusat yang aktif menjalankan program serta aktiviti dengan menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat adalah Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat (JINM) yang diterajui oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) yang menjalankan program serta aktiviti berkaitan dengan kemasyarakatan (komuniti) dan juga Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT) yang terlibat secara aktif dalam program serta aktiviti bersama dengan industri.

 

Di antara program serta aktiviti yang sedang rancak dirancang dan dilaksanakan oleh pejabat JINM UPM adalah dalam mengendalikan dan menguruskan sistem ICRIS yang masih dibuka sepanjang tempoh PKP bagi membolehkan kakitangan akademik untuk merekodkan program serta aktiviti yang berkaitan dengan masyarakat dan industri yang telah dilaksanakan. Selain itu, pejabat UCTC UPM juga akan menganjurkan beberapa sesi Forum Pengembangan secara atas talian yang akan mengupas serta membincangkan isu-isu semasa bersama pakar-pakar bidang yang dikenal pasti.

 

Pejabat UCTC UPM akan mengadakan Facebook live sekali dalam tempoh setiap 2 minggu bersama pakar jaringan industri dan masyarakat. Di samping itu, pegawai2 di pejabat JINM UPM juga aktif menggunakan perisian teknologi komunikasi dan maklumat dalam melaksanakan projek-projek di atas talian seperti Online Digital Poster Presentation (Infographics), EBulletin,Ebook dan sebagainya.

 

Satu lagi aplikasi teknologi komunikasi dan maklumat yang akan digunakan secara strategic oleh Pejabat JINM sepanjang tempoh PKP ini adalah dalam menganjurkan program JINM Showcase yang memaparkan projek-projek jaringan komuniti dan industri berimpak tinggi bagi meraikan komuniti masyarakat dan industri tertentu. Selain itu, beberapa lagi aplikasi teknologi komunikasi dan maklumat juga digunakan sepanjang tempoh PKP dalam mengadakan mesyuarat, perbincangan dan latihan di atas talian dengan menggunakan perisian seperti Facebook Live, Forum di atas talian, mesyuarat di atas talian dengan menggunakan perisian Zoom Meeting, WeBex dan sebagainya.

 

Di antara forum di atas talian yang akan diadakan adalah Forum University for Society (U4S) yang akan diadakan pada 25 April 2020 berhubung dengan Peranan Universiti Awam Kepada Masyarakat Dalam Menangani Wabak COVID-19 yang akan membincangkan isu-isu berkaitan dengan COVID-19 dan Forum Cabaran Pengembangan Pertanian Pasca Covid-19 yang akan diadakan pada 27 April 2020. Kedua-dua forum yang akan dianjurkan ini akan dibarisi oleh ahli panel yang mempunyai pengalaman serta kepakaran yang luas yang berkaitan dengan topik forum yang akan dibincangkan dan dikupaskan secara mendalam.  

 

Satu lagi inisiatif yang diambil oleh UCTC UPM dalam melaksanakan program latihan melalui talian adalah Facebook Live. Program latihan masih dilaksanakan oleh UCTC UPM dengan menggunakan Facebook Live di mana pakar dalam bidang-bidang tertentu akan diundang bagi menyampaikan syarahan atau ceramah kepada peserta dengan menggunakan Facebook.

 

Kaedah latihan melalui Facebook Live sedikit sebanyak dapat memberikan pendedahan asas kepada peserta mengenai sesuatu bidang sebelum perjumpaan bersemuka diadakan di antara peserta dengan pakar dalam bidang. Salah satu program latihan yang boleh dilaksanakan dengan menggunakan Facebook live adalah program asas tanaman sayuran di mana pakar dalam bidang pertanian dapat menyampaikan syarahan (teoretikal) mengenai asas tanaman sayuran dan aspek praktikal dapat juga ditunjukkan dalam bentuk video mengenai teknik tanaman yang betul dan bersesuaian dalam Facebook live ini.

 

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan ini dilihat telah menurunkan produktiviti secara signifikan dari pelbagai sudut dan sektor, namun dengan menggunakan aplikasi teknologi komunikasi maklumat secara kreatif, banyak perkara dapat dilaksanakan dan dihasilkan dalam tempoh PKP ini. Semuanya adalah bergantung kepada inisiatif serta komitmen masing-masing.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 30/04/2020 | Updated: 30/04/2020 | jstham

MEDIA SHARING

FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
C1597478572