Pensyarah Dan Pelajar FBMK Bahas Nilai Jalur Gemilang Dalam Borak 3 Generasi | FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
» NEWS » Pensyarah dan Pelajar FBMK Bahas Nilai Jalur Gemilang dalam Borak 3 Generasi

Pensyarah dan Pelajar FBMK Bahas Nilai Jalur Gemilang dalam Borak 3 Generasi

UPM SERDANG, 21 Ogos 2025 – Program Borak 3 Generasi terbitan Putra TV menampilkan dua panel daripada Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membincangkan tajuk “Nilai Jalur Gemilang dalam Mempupuk Kepentingan dan Kebersamaan Sosial” sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Panel yang terlibat ialah Dr. Wan Ikhlas Wan Mohtar, Pensyarah FBMK, serta Hoh Yik Huan, pelajar tahun akhir Bacelor Komunikasi dengan Kepujian (Penyiaran), FBMK.

Dalam perbincangan tersebut, Dr. Wan Ikhlas menekankan bahawa walaupun minat terhadap penghayatan Jalur Gemilang dilihat semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat, ia tidak bermakna jati diri sebagai rakyat Malaysia terhakis. Beliau turut menyatakan bahawa generasi kini merasakan tidak “cool” untuk menonjolkan identiti kebangsaan kerana media massa kurang memberi penekanan tentang betapa penting dan hebatnya menjadi rakyat Malaysia.

“Usaha kempen seperti 1 Bendera, 1 Rumah merupakan satu usaha yang bagus kerana ia memberi impak yang besar kepada kesedaran masyarakat. Jika dahulu kerajaan mengedarkan bendera untuk diletakkan pada kenderaan, kini lebih menarik kerana kempen itu diperluas dengan meletakkan bendera di rumah,” ujar beliau.

Mengulas isu pemasangan bendera terbalik, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan.

“Apabila bendera dipasang terbalik, ia menggambarkan sikap tidak ambil tahu dan boleh memberi persepsi seolah-olah kita menolak atau bersikap anti terhadap lambang kebangsaan,” tambahnya.

Sementara itu, Hoh Yik Huan pula berpendapat bahawa Jalur Gemilang membawa makna perpaduan, hormat-menghormati, keberanian serta semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau turut mencadangkan aktiviti kreatif seperti pemakaian pakaian berwarna tema Jalur Gemilang dan pakaian tradisional sebagai simbol penghayatan nilai patriotisme. Selain itu, penggunaan platform media sosial seperti TikTok serta peranan influencer juga dilihat mampu memperkukuh semangat patriotik dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Program Borak 3 Generasi yang disiarkan pada 20 Ogos 2025 ini menjadi wadah perkongsian idea antara akademia dan mahasiswa, sekali gus membuka ruang wacana yang segar tentang usaha memupuk kepentingan serta kebersamaan sosial melalui penghayatan Jalur Gemilang.

Tayangan penuh boleh ditonton menerusi pautan berikut:
https://www.youtube.com/watch?v=e0uFMRlRbfc

 

Date of Input: 22/08/2025 | Updated: 22/08/2025 | amira.rahim

MEDIA SHARING

FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 3700
03-9769 3727
W, (02:45:37am-02:50:37am, 11 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]