FBMK UPM Terima Lawatan MAIM, Perkasa Inovasi EKSA Ke Arah Budaya Kerja Lestari | FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
» NEWS » FBMK UPM Terima Lawatan MAIM, Perkasa Inovasi EKSA ke Arah Budaya Kerja Lestari

FBMK UPM Terima Lawatan MAIM, Perkasa Inovasi EKSA ke Arah Budaya Kerja Lestari

SERDANG, 26 Ogos- Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima lawatan daripada delegasi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang diketuai Ketua Unit Inovasi & Kualiti, Azizie R. Abd Aziz, bagi meninjau pelaksanaan inovasi Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang telah mendapat perhatian di media sosial.

Delegasi tersebut disambut oleh Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim bersama pengurusan fakulti.

Menurut Azizie, lawatan ini bertujuan mempelajari pendekatan inovasi EKSA yang diamalkan FBMK untuk diaplikasikan di MAIM dalam usaha menghasilkan idea baharu yang kreatif, praktikal, dan lestari.

“Saya tidak mahu staf MAIM hanya kemas ketika penilaian EKSA tiba. Saya mahu ia dijadikan panduan dalam kehidupan bekerja, agar benar-benar menyumbang kepada produktiviti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pentadbir Fakulti merangkap Mentor Inovasi, Saliza Mustafa, berkata bangunan FBMK yang telah berusia 40 tahun dinaiktaraf mengikut bajet yang ada, namun tetap mampu melahirkan inisiatif signifikan.

“Antara yang menjadi tumpuan ialah edible garden serta inisiatif ‘satu pokok, satu sudut’ yang bukan sahaja menceriakan persekitaran, malah memberi manfaat bersama,” ujarnya.

Pengarah Program InovEKSA FBMK, Mohd Husaini Amir Nik, menekankan bahawa program ini membudayakan inovasi dalam kalangan staf melalui amalan EKSA, dengan fokus kepada penjimatan sumber tenaga, penggunaan semula bahan terpakai, mempermudah kerja pentadbiran dan pengurusan serta meningkatkan jangka hayat barangan inovasi.

Beliau turut berkongsi mengenai pertandingan inovasi dalaman yang dianjurkan FBMK, melibatkan lima kumpulan dan staf bukan pegawai diberi peluang membentangkan idea  kumpulan serta bakat kreatif mereka.

Dalam pada itu, lawatan ini sekali gus memperkukuh peranan FBMK sebagai fakulti yang proaktif dalam membudayakan inovasi berteraskan EKSA, selain menyumbang kepada kelestarian kampus dan kesejahteraan warga kerja.

 

Date of Input: 27/08/2025 | Updated: 27/08/2025 | amira.rahim

MEDIA SHARING

FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 3700
03-9769 3727
X, (06:45:50am-06:50:50am, 08 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]