Laporan Projek Komuniti: Seronoknya Belajar Bahasa | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
» BERITA » Laporan Projek Komuniti: "Seronoknya Belajar Bahasa"

Laporan Projek Komuniti: "Seronoknya Belajar Bahasa"

Laporan Projek Komuniti

Satu projek  komuniti bertajuk ‘Seronoknya Belajar Bahasa’ anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dengan kerjasama PUSPANITA Cawangan Negeri Sembilan telah diadakan pada 24 April 2019. Seramai lima pensyarah dan dua pelajar siswazah terlibat dengan program ini yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.

Aktiviti yang berlangsung selama satu hari ini melibatkan pengajaran dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Sepanyol. Murid-murid yang terlibat terdiri daripada murid tahun 4, 5 dan 6 yang kesemuanya berjumlah 36 orang. Aktiviti dibahagikan kepada empat sesi, iaitu sesi pengenalan diri, permainan bahasa, latihan bahasa dan persembahan bahasa.

Aktiviti pertama melibatkan sesi pengenalan diri dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Sepanyol. Setiap bahasa diperuntukkan selama 20 minit untuk tujuan pengajaran. Bagi pengajaran bahasa Melayu, aktiviti lebih bersifat pengukuhan, manakala pemantapan bagi pengajaran bahasa Inggeris. Pengajaran bahasa Sepanyol pula sebagai satu aktiviti berbentuk pengenalan kerana murid-murid ini tidak mempunyai asas dan pengalaman.

Sesi kedua pula aktivitinya lebih bersifat santai tetapi berilmu. Murid-murid dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil dan setiap kumpulan tersebut bergilir-gilir bergerak ke bahasa Melayu, Inggeris dan Sepanyol. Dalam permainan bahasa ini, aktiviti bahasa Melayu memerlukan pelajar untuk mengambil barang dari kotak misteri. Murid perlu membuat ayat di hadapan murid lain berkait dengan barang yang diambil. Sementara aktiviti bahasa Inggeris pula menjurus kepada permainan Simon say’ untuk menguji pemahaman murid mendengar arahan dalam bahasa Inggeris dan ‘chinese wisper’ pula bertujuan untuk melihat murid menyampaikan mesej secara berbisik. Penggunaan kad imbas digunakan dalam aktiviti permainan bahasa Sepanyol. Murid-murid diajar dahulu nama-nama haiwan dalam bahasa Sepanyol dan mereka perlu membuat bunyi bagi setiap haiwan yang dilihat pada kad imbas. Sesi menguji pemahaman dilakukan dengan setiap murid perlu membunyikan bunyi haiwan yang mereka dapat. Murid-murid yang lain perlu meneka haiwan tersebut dalam bahasa Sepanyol.

Sesi ketiga pula memerlukan murid-murid tersebut untuk membuat latihan tentang persembahan mereka. Kali ini setiap bahasa akan melatih hanya satu kumpulan sahaja. Tujuan latihan ini adalah untuk memberi ruang kepada murid-murid memperbaiki sebutan mereka dan mengingati skrip yang digunakan. Sesi keempat mengambil tempat dengan para murid ini perlu membuat persembahan di hadapan murid lain dan juga para guru. Murid dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut bahasa. Kumpulan bahasa Melayu telah mempersembahkan lakonan suasana jual beli di pasar. Persembahan bahasa Sepanyol pula melibatkan pembacaan sajak secara berkumpulan dengan gaya tersendiri. Manakala, persembahan bahasa Inggeris pula memerlukan murid-murid ini membuat persembahan sebutan berirama (coral speaking).

Secara kesimpulannya program ini berjaya mencapai objektif yang disasarkan, iaitu:

  1. memberi pendedahan tentang pembelajaran pelbagai bahasa melalui aktiviti didik hibur
  2. memantapkan kemahiran pelbagai berbahasa melalui aktiviti didik hibur yang dirancang
  3. menyuntik semangat pelajar untuk memahami kepentingan mempelajari pelbagai bahasa

Para murid ini berjaya menangani perasaan gementar dan takut untuk bercakap melalui aktiviti yang dijalankan. Semangat yang diberikan membuatkan program ini menjadi meriah, menghiburkan tetapi penuh berilmu. Diharapkan program komuniti ‘Seronoknya Belajar Bahasa’ ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Tarikh Input: 21/05/2019 | Kemaskini: 21/05/2019 | ewan

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
SXESJAL~