Bawa Pulang Keris | FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
» NEWS » Bawa pulang keris

Bawa pulang keris

Kuala Lumpur: Pasukan Pengkaji Sejarah Universiti Putra Malaysia (UPM) akan membawa pulang keris yang dipercayai milik Hang Tuah yang kini berada di Okinawa, Jepun untuk kajian lanjut.

 

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM Dr Rohaidah Kamaruddin berkata, keris terbabit dipercayai menjadi lambang diplomatik antara kerajaan Melaka dan Ryukyu (Okinawa) ketika lawatan pahlawan itu pada zaman pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah.

Beliau berkata, keris berkenaan adalah penting untuk menunjukkan Hang Tuah pernah ke Jepun sebagai ‘Duta’ selain membuktikan kerajaan Melaka ada menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara lain pada masa itu.

“Saya akan bekerjasama dengan pengkaji sejarah daripada Jepun untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keris terbabit yang belum dipamerkan kepada umum terutama masyarakat di negara ini.

“Keris terbabit ditemui pengkaji sejarah Jepun sebelum disimpan di muzium sebagai artifak sejarah kerajaan Ryukyu dan usaha membawa pulang khazanah itu masih dalam peringkat perbincangan,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, Dr Rohaidah berkata, pasukannya juga akan membuat kajian di Istanbul, Turki untuk melihat manuskrip berkaitan pahlawan itu yang masih tersimpan di muzium negara terbabit.

“Saya difahamkan tiada pihak terutama pengkaji sejarah melihat seterusnya mengkaji manuskrip berkenaan walaupun ia ada diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah.

“Manuskrip itu menceritakan mengenai Hang Tuah sebagai wakil Sultan datang ke negara itu ketika pemerintahan Uthmaniyah iaitu Sultan Muhamad Al Fateh.

“Malah, ada juga bukti yang mengatakan anak perempuan Sultan Muhamad Al Fateh berkahwin dengan Sultan Alaudin Riayat Shah bagi memperkukuhkan hubungan kedua-dua kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan ekspedisi Menjejaki Hang Tuah di Goa, India, yang diketuai Dr Rohaidah berjaya menemui manuskrip mengaitkan Hang Tuah yang pernah berkhidmat dengan kerajaan Srivijaya.

Malah, ketika ekspedisi itu, pasukan terbabit turut berjaya menemui pelbagai artifak dipercayai milik kerajaan Melaka yang dibawa Portugis.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:32 AM

Date of Input: | Updated: | ctsakinah

MEDIA SHARING

FACULTY OF MODERN LANGUAGES AND COMMUNICATION
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
SXEYAAx~