Pensyarah FBMK, UPM Naib Johan Pertandingan Akhir Gegar Pidato Piala Pusingan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2019 | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
» BERITA » Pensyarah FBMK, UPM Naib Johan Pertandingan Akhir Gegar Pidato Piala Pusingan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2019

Pensyarah FBMK, UPM Naib Johan Pertandingan Akhir Gegar Pidato Piala Pusingan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2019

Oleh: Dr. Sharil Nizam Sha’ri

Foto: Dr. Zuraini Jusoh

INTAN, Bukit Kiara – Prof. Madya Dr. Norazlina Hj. Mohd Kiram telah dinobatkan sebagai Naib Johan Pertandingan Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) 2019.  Tema pidato pada tahun ialah, ‘Kegemilangan Ilmu Teras Keunggulan Bangsa’ dan berlangsung di Auditorium, INTAN. Pertandingan Pidato KPPA 2019 kali ini telah menerima sebanyak 135 penyertaan, 33 peserta dipilih ke peringkat saringan dan 5 peserta terbaik terpilih sebagai finalis peringkat akhir. Hadiah telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr. Rosslina Ahmad Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), JPA. Pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai, piala, sijil dan cenderamata.

Prof. Madya Dr. Norazlina Hj. Mohd Kiram, bersama peserta akhir  Pidato KPPA 2019 dan penganjur

“Pidato merupakan minat saya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Walaupun sudah bekerja  dan telah lama meninggalkan dunia pidato dan debat tetapi minat untuk berpidato sentiasa subur dalam jiwa saya. Saya juga percaya bahawa usia bukan penghalang untuk saya kembali beraksi di arena pidato dan menimba pengalaman baharu bersaing dengan generasi muda. Hakikatnya, bukan mudah berbicara di hadapan khalayak apatah lagi dalam pertandingan yang akan dinilai oleh juri dan khalayak. Inilah antara cabaran besar dalam dunia pengucapan awam, iaitu menangani gugup dan emosi”, ujarnya selepas diumumkan sebagai  pemenang.

Norazlina merupakan pensyarah bidang Sosiolinguistik dan Keterampilan Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Beliau telah terlibat dalam arena pidato dan debat hampir 30 tahun dan pernah dipilih sebagai pendebat terbaik dalam pertandingan Debat Asean antara universiti suatu ketika dahulu.

Pertandingan peringkat akhir ini, mengumumkan Muhamad Safuan Azhar (Pejabat Pendaftar Mahkamah Malaysia) sebagai johan, Norazlina Hj. Mohd Kiram (Universiti Putra Malaysia) naib johan, Noor Ismahisham Ismail (Jabatan Pendidikan Negeri Selangor) tempat ketiga, Wan Zainuddin Ali Jaspar (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan  Ahmad Burhan Sidqi Rahim (Majlis Daerah Besut) menerima hadiah saguhati.

Tarikh Input: 11/09/2019 | Kemaskini: 11/09/2019 | ewan

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
SXDdXAa~