Karnival Bahasa dengan kerjasama UPM dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya
Oleh: Salina Husain
Foto: Salina Husain
Putrajaya (29 Julai hingga 3 Ogos 2019) – Sekali lagi pihak Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dijemput untuk bekerjasama untuk kali kedua dalam menjayakan Karnival Bahasa yang diadakan di sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya. Program ini telah diadakan selama seminggu bermula pada 29 Julai hingga 3 Ogos 2019 melibatkan seramai 36 pensyarah dari pelbagai bidang bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Jepun dan Komunikasi, serta seorang jurukamera.
Pensyarah Bahasa Perancis di Pameran Bahasa Pensyarah, Guru dan Pelajar Bahasa Jepun
Dr Salina Husain, selaku ketua program menjelaskan bahawa objektif program ini adalah bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar SAS untuk berinteraksi dalam bahasa masing-masing dengan penuh keyakinan melalui pelbagai aktiviti yang telah dirancangkan. Pihak SAS selaku penganjur program ini sangat mengalu-alukan penglibatan para pensyarah dan pelajar UPM untuk sama-sama berkongsi kepakaran agar para pelajar SAS ini dapat memantapkan kemahiran berbahasa mereka.
Program ini juga turut melibatkan penglibatan dari beberapa sekolah berasrama penuh yang dijemput antaranya Sekolah Sri Putri (SSP), Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP), Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) dan lain-lain. Para pelajar sangat teruja untuk mempamerkan kehebatan masing-masing berkomunikasi dalam pelbagai bahasa mengikut aktiviti yang disertai. Antara aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah dengan kerjasama pensyarah UPM ialah bengkel bahasa, kelas masakan, sudut membaca berita, pameran bahasa, pertandingan karaoke dalam pelbagai bahasa dan banyak lagi. Semua aktiviti yang dijalankan memerlukan pelajar untuk berinterkasi sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Arab, Perancis atau Jepun.
Pelajar Baca Berita Dalam Bahasa Arab Pelajar merekacipta gambar SAS dalam bahasa Cina
Teknik Membaca Dalam Bahasa Inggeris Ketrampilan Berbahasa Melayu
Jelas bahawa aktiviti seumpama ini dapat melahirkan keyakinan pelajar untuk berkomunikasi di samping memantapkan kemahiran berbahasa yang dipelajari. Peluang untuk berinterkasi menggunakan bahasa yang dipelajari seharusnya dipraktikkan melalui aktiviti seperti ini kerana pelajar dapat mempraktikkan pengetahuan yang diperoleh di dalam bilik darjah. Secara tidak langsung juga program ini dapat merapatkan hubungan pensyarah di UPM dengan masyarakat setempat, sekaligus dapat mempromosikan kepakaran pensyarah bahasa di peringkat yang lebih luas lagi.
Gambar Di Majlis Penutup
Tarikh Input: 12/03/2020 | Kemaskini: 12/03/2020 | zeda
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia