Cabaran Bahasa Ialah Cabaran Budaya | FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
» BERITA » Cabaran Bahasa ialah Cabaran Budaya

Cabaran Bahasa ialah Cabaran Budaya

Bacaan penuh melalui JendelaDBP


Serdang –
 Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan aktiviti kebahasaan bersempena sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 7 Oktober lalu dan bakal berakhir pada 9 Februari 2022. Pelbagai aktiviti ke arah memartabatkan bahasa melalui program-programnya telah dijalankan, seperti pidato, semarak pantun dan klinik bahasa yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai bidang.

Begitu juga pertandingan yang bakal berlangsung secara fizikal dan maya, iaitu deklamasi puisi. Usaha yang dilakukan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi sebagai badan peneraju dan pelaksana ini adalah bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

 

Salah satu program yang wajar diambil perhatian ialah Forum Gagasan dan Cabaran dalam Pengukuhan Jati Diri Rakyat Malaysia yang berlangsung pada 13 Oktober 2021 jam 10.00 pagi. Pelbagai isu jati diri dikupas berserta cabaran yang merintangi, termasuk usaha-usaha yang perlu dilakukan bersama demi memastikan nilai kecintaan terhadap bahasa kebangsaan tidak terhakis.

“Jati diri ialah sikap yang boleh dilihat secara fizikal sebagai warisan ketara. Bahkan ia mencakupi aspek warisan tidak ketara apabila dinilai berdasarkan kejiwaan, kebahasaan dan semangat kesetiaan. Inilah cerminan perwatakan rakyat Malaysia yang membawa kepada rasa setia kepada negara sebagai satu bentuk kekuatan jati diri,” ujar YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu.

Jelas beliau lagi, warisan sejarah budaya Melayu perlu diterima dalam sejarah kemerdekaan negara meskipun negara Malaysia berbilang kaum. Di samping itu, segala usaha meraikan warisan bukan Melayu perlu diraikan. Hal ini demikian kerana budaya Melayu merupakan induk pada kekuatan jati diri rakyat Malaysia. Amatlah penting dan menjadi tanggungjawab pucuk pimpinan negara untuk memastikan agar rakyat Malaysia fasih berbahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ia berperanan sebagai penyatuan kaum di Malaysia.

“Amalkan warisan adat budaya dan bahasa Melayu sebagai teras utama. Ini bukan rasis sebaliknya sebagai tanda hormat,” ujar Prof. Latiff.

 

Beliau juga berpendapat bahawa pentingnya peradaban jati diri dari sudut budaya berpakaian kerana ia cerminan budaya hidup masyarakat di Malaysia. Penonjolan jati diri dapat dicungkil melalui amalan pengukuhan sebagai falsafah hidup. Lantaran itu, segala bentuk pengamalan budaya, sama ada budaya berbahasa dengan betul, budaya berpakaian atau segala bentuk budaya yang tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur hedonisme perlulah diperkasa.

“Kami di GAPENA sangat menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Ini langkah yang kurang bijak dan boleh membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Memusnahkan bahasa Melayu dalam peradaban sains dan teknologi adalah langkah kurang bijak sedangkan profesor-profesor dalam bidang sains, matematik dan teknologi amat fasih berbahasa Melayu. Justeru, apa wajarannya dilaksanakan PPSMI? Hal seumpama ini juga sudah dapat dilihat apabila di peringkat pengajian tinggi, jurnal-jurnal bertaraf ISI diwajibkan demi mengejar ranking dan pangkat. Ini membantutkan warisan peradaban negara kerana kita kekurangan jurnal dalam bahasa Melayu, sedangkan pemikir-pemikir dan sarjana yang bijaksana di Malaysia terlahir bukanlah daripada ukuran kebijaksanaan berbahasa Inggeris. Kita sepatutnya menulis dengan bahasa rasmi negara, iaitu bahasa yang difahami oleh rakyat Malaysia, bukan memaksa mereka wajib belajar bahasa Inggeris demi memenuhi keperluan dan kehendak politikus,” jelas beliau.

Apabila melihat kepada negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan misalnya, asas pengukuhan jati diri dipupuk melalui bahasa rasmi negara mereka dalam pengajaran dan pembelajaran. Mereka tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam urusan-urusan rasmi negaranya termasuklah urusan pembelajaran. Contoh lain misalnya, Brunei Darussalam dan Indonesia merupakan antara negara yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara mereka. Justeru, keakuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak terlihat sepenuhnya.

“Kepada Yang Berhormat, baru-baru ini mencadangkan dalam parlimen agar Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dimansuhkan, fikir-fikirkanlah. Cadangan memansuhkan TITAS itu kurang bijak. Jangan terlalu mengikut kehendak muda-mudi hingga menjejaskan warisan leluhur yang disanjung tinggi. Melaui TITAS, generasi kita mempelajari akar budi dan budaya nenek moyang mereka,” luah beliau dengan tegas.

 

Manakala Profesor Dr. Muhammad Rezal Kamel Ariffin, Pengarah Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM, melihat maksud jati diri dan cabarannya dari sudut sains dan matematik. Kata beliau, “proses sejarah mesti dilalui dan dijadikan sumber kekuatan kerana implimentasinya pada zaman ini adalah berbeza. Hendak menjadi bangsa yang ada jati diri, perlu mengambil ilmu dalam apa jua konteks bahasa. Ambillah ilmu tidak tertakluk kepada bahasa yang kita gunakan di samping bahasa Melayu tetap dihormati kerana ia tonggak jati diri.”

Prof. Rezal juga menegaskan bahawa gagasan dan pengukuhan jati diri rakyat Malaysia perlu berteraskan kesedaran sebagai hamba Allah. Hal ini penting kerana setiap perlakuan dipertanggungjawabkan kepada diri sendiri. Justeru ,kesedaran itu akan memandu langkah individu agar tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan jati diri.

“Jati diri ialah identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang mempunyai sifat ketuhanan yang dibanggakan. Misalnya, pecahan elemen Wawasan 2020 juga sebenarnya boleh dijadikan jati diri. Pendek kata, jati diri ialah perlakuan yang perlu memberi asbab pada kewujudan Malaysia,” tukas beliau.

“Semua pemikir negara perlu duduk semeja. Jangan cacamarba dan tidak menyumbang kepada asbab kewujudan Malaysia kerana sains dan teknologi terpancar melaluinya.”

Nasib bahasa Melayu dalam konteks sains dan matematik pada hari ini terlihat sebagai bahasa orang Melayu yang tunggang-langgang. “Kejayaan yang huru-hara diperoleh dengan senang, seperti kemunculan media sosial yang pantas, terjana pendapatan melaluinya. Tik Tok misalnya, suatu acuan baharu yang telah mengubah peradaban yang betul,” ujar beliau.

Inilah contoh unsur-unsur budaya hedonisme yang menjurus pada kebahagiaan dan keseronokan. Hal ini sebenarnya telah masuk secara halus ke Malaysia sejak 1960-an. Bahkan wujud sejak zaman Sebelum Masihi, yang mengangkat slogan “kesenangan dan keseronokan di dunia sebagai ketenangan rohani”. Justeru, sebagai masyarakat dan bangsa yang menghormati adat dan adab ketimuran, berpegang pada kepercayaan terhadap agama menjadi tanggungjawab kita, dan menolak “kesenangan dan keseronokan di dunia” semata-mata. “Cabaran bahasa ialah cabaran budaya apabila budaya tidak memahami bahasa. Maka tidak hairanlah dalam urusan kerajaan juga terdapat budaya hedonistik. Lantaran itu, ia perlu ditangani kerana (hal ini) di luar kawalan ahli akademik.”

Pada akhirnya, panel forum bersepakat bahawa pucuk pimpinan negara memainkan peranan penting untuk mengubah dan mencorak jati diri rakyat Malaysia kerana kuasa veto di tangan mereka. Dengan rekayasa jati diri mereka dahulu, barulah bahasa Melayu dapat menjadi asas kekuatan jati diri dan bahasa perasaan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Tonton forum penuh di sini.

Tarikh Input: 20/12/2021 | Kemaskini: 20/12/2021 | irfan.jamil

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8661
03-9769 3727
SXDcXAI~